Rafizi ditangkap di luar Parlimen, disiasat bawah OSA

Rafizi ditangkap di luar Parlimen, disiasat bawah OSA

Menurut Ketua Polis Negara, Rafizi ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi kerana menyampaikan rahsia rasmi secara salah.

rafizi-ramli_handcuff_600

KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli ditangkap sebaik keluar daripada kawasan parlimen sebentar tadi.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin yang menyaksikan penangkapan itu berkata, beliau melihat sejumlah 15 anggota polis sedang menunggu untuk menangkap Rafizi.

“Saya berada di belakang kereta Rafizi sewaktu beliau ditahan. Saya melihat Rafizi diarahkan untuk keluar dari kereta dan diiring untuk masuk ke kereta polis.

“Saya keluar dari kereta saya untuk bertanya polis sebab penahanan tetapi beliau hanya memberitahu polis lain untuk meneruskan tugas tanpa menjawab soalan saya,” katanya kepada FMT.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya mengesahkan penangkapan tersebut. Beliau dalam satu kenyataan turut memaklumkan Rafizi ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi kerana menyampaikan rahsia rasmi secara salah.

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Zin mengesahkan bahawa Rafizi dibawa ke Bukit Aman, walaupun ada khabar angin mengatakan beliau dibawa ke IPD Dang Wangi.

Terdahulu, Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR berkata beliau sanggup ke penjara untuk mendedahkan dokumen yang diklasifikasikan di bawah OSA, yang didakwanya mengaitkan 1MDB dengan Lembaga Tabung Amanah Tentera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.