Keluarga mangsa culik masih tunggu berita daripada tebusan

Keluarga mangsa culik masih tunggu berita daripada tebusan

Kumpulan penculik bersenjata dari Filipina belum menghubungi keluarga mangsa.

mangsa-culik

SIBU:
Empat anak kapal yang diculik daripada sebuah kapal tunda di luar perairan Pulau Ligitan berhampiran Sabah pada Jumaat lalu, dilaporkan belum menghubungi keluarga mereka.

Menurut ahli keluarga mangsa, ia adalah penantian menyeksakan buat mereka, kerana tidak tahu keadaan dan nasib mangsa yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata dari Filipina itu.

Keempat-empat mangsa dari Sarawak itu adalah adik-beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chi, 29, bersama sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan seorang lagi mangsa yang tiada pertalian darah dengan tiga mangsa terbabit, Wong Hung Sing, 34.

Menteri Kewangan kedua, Wong Soon Koh yang melawat rumah keluarga tiga mangsa terbabit, pada Ahad, berkata, ahli keluarga tidak tahu kedudukan anak-anak mereka, kerana belum menerima panggilan daripada kumpulan penculik itu.

“Saya telah bercakap dengan ibu bapa mangsa dan mereka tidak tahu di mana mereka berada, tetapi saya pasti dalam tempoh beberapa hari akan datang, mereka (kumpulan penembak) itu akan menghubungi kami. Tidak tahu apa permintaan mereka, tetapi saya akan bawa kepada perhatian kerajaan negeri. Saya akan laporkan kepada Ketua Menteri mengenai apa yang saya tahu.

“Kami sedih dengan apa yang telah berlaku. Ia sesuatu yang di luar jangkaan, tetapi kejadian itu telah berlaku dan kami akan lihat bagaimana boleh bantu mereka,” katanya yang dipetik laporan The Star Online, selepas menyuarakan kebimbangan ahli keluarga mangsa penculikan bagi pihak kerajaan negeri.

Beliau menasihatkan keluarga terbabit supaya bertenang dan “kami akan buat yang terbaik serta lihat cara kami boleh bantu, khasnya melalui kerajaan negeri.”

Pada 1 April lalu, empat warga Malaysia yang merupakan anak kapal tunda berdaftar di Malaysia, MV MASSIVE 6 dilaporkan diculik lapan lelaki bersenjata di perairan berdekatan Pulau Ligitan, ketika dalam perjalanan pulang dari Filipina ke Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.