“Saya bersyukur, rakyat sanggup dalam keadaan panas terik, sanggup berkumpul menyatakan kepada Kerajaan masalah yang dihadapi rakyat.
“Malangnya, Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) pekak dan bisu. Bila ada tunjuk perasaan macam ini, dia akan tafsir percubaan Cina hendak jatuhkan Kerajaan.
“Walhal, di sini Cina, India dan Melayu semua ada,” ujarnya sewaktu berucap di hadapan 3,000 penunjuk perasaan yang berhimpun di Jalan Raja, hari ini.
Dr Mahathir tiba di perkarangan Dataran Merdeka sekitar 5:20 petang dengan ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. Kehadirannya disambut diringi laungan ‘Reformasi’ — gema keramat yang suatu masa dahulu mengegarkan pemerintahannya.
Dalam himpunan Bersih 4 Ogos tahun lalu, pecahan ras yang ketara mendorong sesetengah portal dan media mendakwa himpunan didominasi oleh etnik Cina.
Kewaspadaan bekas diktator itu disambut dengan gelak tawa dan sorakan daripada hadirin yang berkumpul dan berarak dibawah terik El Nino bersempena setahun perlaksanaan GST.
Tidak terhenti di situ, Mahathir mendakwa Najib merupakan punca kepada masalah yang berlaku kini.
“Rakyat kini mendapat kesusahan yang tidak pernah mereka rasai. Walaupun kita pujuk, jangan kenakan GST, tetapi dia tidak peduli, kerana dia hendak duit rakyat sebab nak bayar hutang.
“Dia hutang begitu banyak, menekan rakyat, sebab itu kita mesti jatuhkan Najib. Dialah punca segala masalah yang dihadapi kita semua,” jelasnya.
Disebabkan itu, Dr Mahathir menyeru peserta yang hadir ke demonstrasi membantah GST itu menandatangani Deklarasi Rakyat agar ia dapat dibawa ke pengetahuan Raja-Raja Melayu.
“Tolong tandatangani deklarasi supaya kita dapat hadapkan rintihan, rayuan kita kepada Raja-Raja Melayu. Walaupun ia tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi raja-raja akan dengar suara rakyat. Tanpa rakyat, tidak ada raja,” ujar beliau.
