Menurut Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, ancaman terhadap Dr Mahathir itu seolah-olah menunjukkan bahawa Nur Jazlan kini seperti takut kepada bekas Perdana Menteri itu.
“Kenapa dia (Mahathir) nak kena tahan? Dengan Dr Mahathir pun nak takut,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi pameran pengenalan Smart Selangor di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) di Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas strategi Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia sekiranya Dr Mahathir di tahan di bawah Akta Hasutan.
Semalam, Nur Jazlan ada menegaskan, bahawa Dr Mahathir boleh dianggap menghasut kerana mengeluarkan kenyataan untuk bertindak “di luar jangkaan” untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Nur Jazlan berkata, polis akan menyiasat pelbagai kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Dr Mahathir dan sekiranya keputusan siasatan menunjukkan ia melanggar undang-undang, maka tindakan akan diambil.
Sementara itu, Azmin ketika mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang tidak menandatangani Deklarasi Rakyat sebaliknya, membuat keputusan menandatangani Deklarasi Kelantan bagi menyokong Perdana Menteri berkata, ia disifatkan sebagai satu perkara yang bercanggah dengan sokongan yang pernah diberi oleh Ku Li sebelum ini.
“Memang dia (Ku Li) tak tandatangan pun sebab dia tandatangan deklarasi Kelantan. Dia dah ‘u-turn’ nak buat macam mana,” katanya.
