Dalam sidang media hari ini, Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih mesra dipanggil Ku Li berkata, beliau tidak terlibat dengan SD itu malah tidak tahu menahu SD itu wujud.
“Saya hanya lihat SD di Facebook, ia kelihatan seperti sepucuk surat bukan SD,” katanya yang merujuk kepada SD yang dimuatnaik Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong yang dikatakan menyokong Ku Li sebagai Perdana Menteri.
SD itu antara lain menyatakan ahli Parlimen hilang keyakinan kepada Najib dan mendesak beliau meletak jawatan dan mengesyorkan Ku Li mengambil alih jawatan tersebut.
Chin Tong mendedahkan SD itu bagi menjawab tuduhan Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdu Rahman yang mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad ‘menyebarkan cerita dongeng’ apabila mendakwa Ku Li dan beberapa pemimpin UMNO lain terlibat dalam komplot menggulingkan Najib menerusi undi tidak percaya di Parlimen.
Dalam sidang media sama, kerabat Istana Kelantan itu turut menafikan tuduhan beliau berpaling tadah apabila menandatangani Deklarasi Kelantan yang menyokong penuh kepimpinann Najib, minggu lalu.
“Saya tidak pernah terlibat dalam mana-mana gerakan. Bagaimana mereka boleh tuduh saya berpaling tadah?
“Deklarasi yang saya tandatangan merupakan amalan biasa dalam politik- sekadar gimik dan bukan sah di sisi undang-undang. Jadi kenapa kecoh? Pendirian saya mengenai pentadbiran baik tidak pernah berubah,” katanya sambil menambah deklarasi itu tidak mempunyai nilai.