Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, berkata kenyataan Dr Mahathir itu merupakan penghinaan terhadap ahli UMNO yang banyak membantu beliau semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.
“Janganlah menghina sampai begitu sekali, itu ahli UMNO yang sokong dia dahulu, saya ada waktu itu masa Tun M jadi Presiden UMNO, jadi Perdana Menteri, kita ini apa? Bisukah? Makan dedakkah? Itu tak adil apabila Tun M hina kita semua macam itu sekali, itu tak betul.
“Tapi hendak kata sama ada kita bercakap atau tidak, mana dia tahu? Takkan kita hendak melalak tepi jalan itu? Kita bercakap, tapi pada tempat yang betul, dalam MT kita bercakap, kita bagi pandangan, nasihat.
“Jadi hendak ukur sama ada bisu atau tidak bisu, hanya kerana kita tidak ikut ‘style’ dia? Buat demonstrasi jalanan macam dia? Itu baru kata tidak bisu? Kalau cakap dalam dewan itu bisulah?” katanya di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir menerusi blognya menulis bahawa kebanyakan ahli UMNO sudah menjadi bisu, pekak dan buta.
Dr Mahathir dipetik sebagai berkata, rata-rata ahli dan pemimpin UMNO sudah tidak lagi sayang kepada parti kerana didakwa banyak ‘makan dedak’ yang disuap oleh Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata, rakyat tidak harus termakan dengan dakwaan Dr Mahathir yang tidak mempunyai asas.
Katanya, hanya rakyat yang berhak menilai dan mengukur kepemimpinan Perdana Menteri dan bukannya Dr Mahathir yang mengaku dirinya lebih ‘diktator’ daripada Najib.