Menurut laporan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, dua kenderaan teksi disita kerana menghalang lalulintas.
“Timbalan Ketua Polis Daerah (T/KPD) IPD Dang Wangi; Supt Habibi Bin Majinji telah cuba untuk berunding dengan wakil kumpulan pemandu teksi terbabit tetapi gagal.
“Pada jam lebih kurang 1145 (pagi) T/KPD Dang Wangi telah memberikan arahan untuk mereka bersurai dalam masa 15 minit atau tindakan undang-undang akan diambil keatas mereka,” menurut laporan polis yang diterima FMT.
Bagaimanapun, menurut laporan itu, sekumpulan pemandu teksi enggan bersurai dan menghalang anggota polis bertugas. Lima lelaki berbangsa Melayu, antara 30an hingga 50an, telah ditangkap kerana menghalang anggota menjalankan tugas.
FMT difahamkan protes bermula sekitar jam 10 pagi, apabila kumpulan pemandu teksi terbabit berhimpun di Jalan Ampang dan bergerak ke Jalan Bukit Bintang.
Sekitar 10.20 pagi, keseluruhan Jalan Bukit Bintang terhenti selepas laluan utama ibu negara itu terhalang oleh 100 kereta teksi yang meletak kenderaaan di sepanjang jalan.
Polis mengalihkan trafik dari laluan menuju ke Jalan Bukit Bintang bagi mengelakkan orang awam terperangkap dalam kesesakan. Jalan Bukit Bintang dibuka semula kepada lalulintas pada 12.30 tengah hari.
