Pemecatan itu diisytiharkan oleh Datuk Jenang, Datuk Zakaria Mohammad selepas Buapak Yang Enam Luak Johol bersepakat dalam beberapa kerapatan (mesyuarat) sebelum ini untuk memecat Mohd Jan .
“Pembesar adat Johol bersepakat untuk memecat Mohd Jan sebagai Undang dan menggantikannya dengan Datuk Baginda Tan Mas, Datuk Muhammad Abdullah,” kata Zakaria kepada FMT, semalam.
Hari ini, Zakaria mengisytiharkan Muhammad yang juga Timbalan Undang Luak Johol sebagai Undang Luak Johol ke-15 dan seterusnya menjadi Pembesar Memerintah di Negeri Sembilan.
Menurut Zakaria, pemecatan dibuat mengikut adat Luak Johol, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Perlembagaan Persekutuan.
Difahamkan, pemecatan Mohd Jan mula disebut dalam kalangan penduduk negeri ini selepas isu pengurniaan darjah kehormat dan penghargaan oleh Balai Undang Luak Johol pada 10 Ogos tahun lalu, didapati melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Mohd Jan adalah Undang Luak Johol yang pertama dipecat selepas institusi itu diasaskan pada tahun 1723 oleh Puteri Sitiawan apabila Johol tidak lagi bernaung di bawah Kesultanan Johor.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor berkata, tindakan Mohd Jan sebagai Undang Johol pada waktu itu adalah tidak selaras dengan Perkara 26, Bab 7 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Zakaria berkata, pemecatan Mohd Jan sudah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, selaku Pengerusi Dewan Keadilan dan Undang hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Jan dan keluarganya diarahkan oleh Zakaria untuk mengosongkan Balai Undang Luak Johol di Renggoh, Kuala Pilah dengan segera.
Mohd Jan, 75, dilantik Undang Luak Johol ke-14 pada 13 Mac 2007 selepas penyandang terdahulu, Datuk Abdul Ali meninggal dunia.
Mohd Jan selaku Pembesar Memerintah bersama dengan Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau terbabit dalam pemilihan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar pada tahun 2009.
Wilayah pemerintahan Undang Johol adalah meliputi Johol, Kepis, Air Kuning, Gemencheh dan Pasir Besar, serta mempunyai kedaulatannya di sisi adat Melayu dan agama Islam mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 menyatakan, Undang Luak Johol, Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Rembau, Tunku Besar Tampin dan Yang di-Pertuan Besar adalah Raja dan Pemerintah bagi Negeri Sembilan.
Mereka bersama mempunyai kuasa penuh dalam hal ehwal adat Melayu, agama Islam, melantik Menteri Besar, dan menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
