Tiada arahan UMNO Selangor tandatangan deklarasi sokong Najib

Tiada arahan UMNO Selangor tandatangan deklarasi sokong Najib

UMNO Cawangan Teratai yang membuat dakwaan itu sebenarnya tidak pernah wujud.

Mat-Nadzari-bn
SHAH ALAM : UMNO Selangor menafikan dakwaan yang dibuat Ketua UMNO Cawangan Teratai, Hashim Abdul Karim bahawa kepimpinan di negeri itu telah diarah menandatangani deklarasi menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Penyelaras ADUN BN Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata dakwaan itu merupakan pembohongan besar kerana UMNO Cawangan Teratai tidak pernah wujud.

“Kita menafikan sekerasnya dakwaan UMNO Selangor menolak untuk menandatangani deklarasi ataupun membuat deklarasi seperti yang didakwa. Tidak ada…

“Cawangan itu tidak wujud pun. Jadi itu bohong,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ke-4 Dewan Negeri Selangor yang ke-14 tahun 2016 di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Hashim yang mendakwa kepimpinan UMNO akar umbi di Selangor diarah menandatangani deklarasi menyokong kepimpinan Najib.

Hashim mendakwa cawangannya baru saja menerima surat satu deklarasi yang disediakan oleh UMNO Selangor.

Mat Nadzari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali menambah, UMNO Selangor tidak pernah mengambil pendekatan untuk memaksa mana-mana cawangan di negeri itu membuat deklarasi menyokong Najib.

“Kita tidak pernah memaksa mana mana cawangan untuk membuat apa apa deklarasi dalam memberikan sokongan. Kita mengamalkan demokrasi terbuka dan kita ingin menyuburkan demokrasi di dalam parti kita,” tegasnya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.