Menurut satu tinjauan orang ramai, 75 peratus responden yang terdiri daripada warga negara Singapura mengakui mereka (Singapura) hanya menunggu masa berdepan dengan serangan keganasan.
Tinjauan dan kaji selidik oleh akhbar The Sunday Times terhadap 500 responden dari pelbagai peringkat umur dan demografi di seluruh pulau itu juga mendapati Lapangan Terbang Changi antara lokasi yang dipilih sebagai sasaran utama pengganas.
“Kami adalah pusat untuk perjalanan udara dan sesiapa sahaja boleh masuk dan keluar dari lapangan terbang dengan mudah. Anda tidak boleh memberitahu siapakah pengganas hanya dengan melihat penampilan mereka,” kata seorang responden, Fred Tan, 57 kepada akhbar tersebut.
Dalam pada itu, 54 peratus yang terlibat dalam tinjauan itu percaya Singapura bersedia berdepan serangan, dengan adanya kewaspadaan pasukan keselamatan di negara ini, bilangan rondaan bersenjata di kawasan utama seperti lapangan terbang dan stesen kereta api dan kenyataan baru-baru ini mengenai bagaimana negara ini telah meningkatkan langkah keselamatannya.
Kaji selidik itu dilakukan ekoran insiden serangan di dua lokasi di ibu negara Belgium, Brussels yang membunuh 31 orang dan mencederakan 300 yang lain.
Serangan dilakukan oleh dua pengebom berani mati di ruang berlepas lapangan terbang Brussels dan keretapi bawah tanah pada akhir waktu puncak.
Laporan itu juga mendedahkan 90 peratus responden yang sedar mengenai kejadian di Brussels sekali gus meluahkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di negara itu.
Singapura dikatakan berada dalam kedudukan sebagai hab perjalanan dan perniagaan Asia selain sokongannya memerangi Daesh yang boleh dikhuatiri mencetus serangan di negara itu.
