Ahli Dewan Negara, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata, parti pembangkang yang dipalit pelbagai kontroversi sejak akhir-akhir ini dilihat terdesak untuk menyertai perhimpunan diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Sudah tentu (DAP) akan ambil kesempatan. Kita lihat pembangkang juga sedang berpecah-belah, termasuk terbaru, isu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
“Pembangkang cukup terdesak dan sanggup mengambil apa sahaja kesempatan yang boleh. Saya yakin rakyat akan menolaknya kerana sudah matang dan memikirkan apa yang terbaik,” katanya yang dipetik dari Berita Harian Online.
Mohd Ali yang juga bekas Naib Presiden UMNO berkata, tindakan Dr Mahathir berkongsi pentas dalam ‘Deklarasi Rakyat’ bersama pemimpin pembangkang itu juga sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Sebarang gerakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memang harus dibantah dan ditolak oleh rakyat.
“Perbuatan ini, terang-terangan bertentangan dengan amalan demokrasi. Perdana Menteri dipilih menerusi pilihan raya umum (PRU) dan bukan secara demonstrasi jalanan seperti Arab Spring yang menyebabkan huru-hara,” ujarnya.
