“Saya tidak pernah tengok Lim Guan Eng setakut ini.” – Ramesh Rao

“Saya tidak pernah tengok Lim Guan Eng setakut ini.” – Ramesh Rao

Guan Eng dilihat seperti hilang punca dan kelam-kabut dalam menangani pendedahan berkenaan yang disertakan dengan bukti dan dokumen.

ramesh-guan-eng
PETALING JAYA: Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao menyifatkan beliau tidak pernah melihat wajah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng begitu takut seperti sekarang.

Ramesh berkata, selepas skandal beliau pembelian banglo yang didedahkan minggu lalu, Guan Eng dilihat seperti hilang punca dan kelam-kabut dalam menangani pendedahan itu yang disertakan dengan bukti dan dokumen.

Menurut Ramesh, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan dan dikhabarkan pejabat Kerajaan Pulau Pinang juga sudah didatangi pegawai SPRM untuk siasatan.

“Pada satu video, Guan Eng memberikan taklimat kepada wartawan selepas membawa mereka melihat-lihat rumah banglo itu, jelas beliau bercakap tergagap-gagap dan nampak bimbang.

“Saya sudah lama mengenali DAP, dan saya tidak pernah melihat dia begitu takut seperti sekarang ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh portal pru14.tv, hari ini.

Beliau berkata, kemungkinan Guan Eng ditahan dan dipenjarakan sekiranya didapati bersalah, dipercayai penyebab Setiausaha Agung DAP itu dilihat dalam keadaan bimbang dan takut.

Ramesh berkata, ketakutan Guan Eng semakin terserlah apabila DAP Pulau Pinang mengadakan mesyuarat tergempar untuk memberikan penjelasan dan panduan kepada pemimpin negeri mengenai cara untuk bertindak balas berkaitan kes itu.

Guan Eng kini dalam siasatan SPRM berhubung pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town dengan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran daripada pembeli asal.

Difahamkan, harga banglo itu mengikut harga pasaran semasa seharusnya ialah RM6.5 juta, tetapi dibeli oleh Guan Eng hanya dengan harga RM2.8 juta.

Pemilik asal banglo berkenaan, Phang Li Koon dikatakan mempunyai kaitan dengan urusan jual beli tanah di Taman Manggis, George Town yang membabitkan Kerajaan Pulau Pinang.

Skandal pembelian banglo Guan Eng timbul selepas didedahkan Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dalam Dewan Rakyat sehingga mencetuskan kemarahan pembangkang.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.