
Turut diheret dalam kemelut yang dialami Guan Eng itu ahli-ahli politik pembangkang dan NGO pro pembangkang yang dikatakan mengamalkan sifat ketelusan dan integriti.
Perkara itu dibangkitkan oleh Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo yang secara sinis mempersoalkan di mana suara-suara mereka yang seolah-olah menjadi bisu untuk bersuara.
“Saya nak tanya mana suara-suara NGO pro pembangkang yang kononnya mahukan ketelusan dan keadilan tanpa ada prejudis? Apabila ada isu yang melibatkan kepimpinan UMNO dan kerajaan, bukan main lantang lagi mereka bersuara. Bila timbul isu Guan Eng, bukan setakat mahu bercakap, nak berkutik sedikit pun mereka takut,” katanya seperti disiarkan di laman web UMNO Online.
Terdahulu, timbul kontroversi apabila rumah banglo yang sebelum ini disewa Guan Eng di Jalan Pinhorn dekat George Town dibeli dengan harga rendah berbanding harga pasaran, dan sesetengah pihak cuba mengaitkan pembelian itu dengan penjualan tanah projek rumah kos rendah di Taman Manggis.
Presiden Badan Peguam Malaysia, Steven Thiru dan peguam terkemuka, S Ambiga menyarankan pemimpin besar DAP itu supaya bercuti sementara siasatan SPRM berjalan, namun seruan mereka ditepis DAP.
Menurut Ismail, dalam isu tersebut ia amat jelas menunjukkan bahawa konsep keadilan bagi pembangkang hanyalah terpakai untuk puak dan kroni.
Katanya, apabila ada kroni di pihak pembangkang didakwa melakukan rasuah ia dikatakan fitnah yang dilakukan oleh BN.
Sebaliknya, kata beliau, jika ia berlaku kepada pemimpin BN yang mereka tuduh rasuah, hukuman harus dijatuhkan serta-merta meskipun ia hanya satu pertuduhan sahaja.
“Saya juga agak hairan melihat kehilangan suara Rafizi yang selama ini begitu sibuk mempersoalkan ketelusan dan integriti kepimpinan BN, tetapi sunyi sepi dalam isu skandal rasuah Guan Eng.
“Kenapa Rafizi tak minta Guan Eng berehat dari memegang jawatan sementara menunggu siasatan dijalankan? Saya rasa mungkin Rafizi takut terkena sumpahan ‘tokong’ yang selama ini menjadi mentor kepadanya?,” sindir Ismail.