Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki juga menyatakan sehingga kini pihaknya menerima sebanyak lapan aduan daripada pelbagai pihak berhubung isu pembelian banglo milik Guan Eng.
“SPRM telah menerima sebanyak lapan aduan daripada pelbagai pihak berhubung isu pembelian banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
“Bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan menyeluruh, SPRM telah memanggil beberapa saksi dan mengambil dokumen-dokumen yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, SPRM memberitahu keterangan Guan Eng akan diambil setelah keterangan daripada saksi-saksi diperoleh dan selepas dokumen-dokumen yang diperoleh diteliti.
Jelas Azam lagi, pihaknya sedia maklum dengan kesediaan Guan Eng untuk memberi kerjasama kepada SPRM dan mahu siasatan segera dijalankan.
“Beliau boleh datang ke pejabat SPRM pada bila-bila masa untuk membantu siasatan,” ujarnya lagi.
SPRM telah memulakan siasatan keatas dakwaan penyelewengan terhadap pemimpin besar DAP itu berhubung pembelian sebuah banglo dibawah nilai pasaran tahun lalu.
Penjualan itu didakwa ada kaitan dengan penjualan tanah di Taman Manggis kepada sebuah syarikat swasta pada 2012.
EXCO kanan Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengesahkan penyiasat SPRM telah berkunjung ke pejabat kerajaan negeri untuk menyiasat pembelian banglo dan penjualan tanah tersebut.
Beliau bagaimanapun enggan menamakan pejabat yang terbabit dalam siasatan itu.
