Noh persoal keikhlasan Selangor selesai projek perumahan

Noh persoal keikhlasan Selangor selesai projek perumahan

Tindakan meminta bayaran premium RM12 juta bertujuan menggagalkan janji Barisan Nasional untuk membina rumah penduduk di Taman Permata.

noh

SEPANG:
Datuk Seri Noh Omar mempersoalkan keikhlasan kerajaan Selangor untuk menyelesaikan isu berkaitan tanah bagi projek perumahan di Ladang Ampar Tenang di Dengkil.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, kerajaan Selangor telah bersetuju menyediakan tanah bagi projek perumahan itu untuk penempatan semula 400 keluarga Taman Permata di Dengkil, dengan membeli tanah seluas 30 ekar daripada Sime Darby pada harga RM12 juta.

Noh, yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, berkata kerajaan Pusat melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula memperuntukkan RM48 juta untuk membina 400 unit rumah setingkat seluas 700 kaki per segi di Ladang Ampar Tenang itu.

Namun katanya, kerajaan Selangor pada Disember lepas menghantar surat kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk meminta membayar premium sebanyak RM12 juta.

“Kalau kerajaan negeri beli tanah RM12 juta dan meminta kerajaan Pusat membayar premium RM12 juta, apakah sumbangan kerajaan Selangor dalam pembinaan rumah untuk penduduk Taman Permata.

“Sepatutnya apa-apa projek kerajaan Pusat, kerajaan negeri hanya minta pembayaran premium secara nominal dan bukan menjual tanah kepada kerajaan Pusat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ladang Ampar Tenang hari ini.

Flat lima tingkat di Taman Permata menempatkan 400 keluarga yang dipindahkan daripada Ladang Prang Besar (nama lama Putrajaya) sejak 22 tahun lepas, kini disahkan tidak selamat diduduki berikutan berlakunya mendapan dan keretakan.

Sambil menyifatkan ia permainan politik kerajaan Selangor, Noh berkata, tindakan meminta bayaran premium RM12 juta itu bertujuan menggagalkan janji Barisan Nasional untuk membina rumah penduduk di Taman Permata.

“Andai kata kita gagal menunaikan janji membina rumah ini, sudah tentu kerajaan Selangor akan memainkan isu ini dan menyalahkan kerajaan Pusat. Sudah tentu mereka tidak akan mendedahkan bahawa mereka meminta pembayaran premium dari kerajaan Pusat,” katanya.

Noh berkata, rumah yang siap kelak akan diberi secara percuma kepada penduduk Taman Permata.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.