TMI disekat selepas aduan memalsukan berita – SSK

TMI disekat selepas aduan memalsukan berita – SSK

Aduan lain yang diterima berhubung portal itu ialah kesalahan pemberitaan, berita berbaur penghinaan serta perkauman.

salleh-keruak_tmi_skmm_600

KUALA LUMPUR:
Sekatan terhadap portal berita The Malaysian Insider (TMI) dibuat berdasarkan aduan yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Antara aduan berhubung portal itu ialah kesalahan pemberitaan seperti memalsukan berita, berita berbaur penghinaan serta perkauman.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak, berkata tindakan itu adalah selaras dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, kerajaan menerusi SKMM bertanggungjawab memastikan perkembangan internet tidak merosakkan keharmonian negara.

“Ia (sekatan TMI) adalah keputusan SKMM kerana aduan diterima daripada banyak pihak, kita tak ada ‘double standard’ (pilih kasih) dalam hal ini, kita boleh berbeza pendapat tapi tak boleh kelirukan keadaan.

“Penutupan portal itu kerana masalah komersial, ia sama seperti penutupan The Rakyat Post, wajar dibuat pertimbangan di situ,” katanya.

Salleh Said berkata, semua pihak perlu faham bahawa sekatan portal TMI bukan salah kerajaan kerana tindakan hanya dibuat mengikut aduan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang) pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Hanipa mendesak kerajaan supaya tidak menghukum portal itu melalui sekatan, sebaliknya dibuat menerusi pendakwaan di mahkamah mengikut undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.