Jurucakap kumpulan moderat Melayu itu menyifatkan tindakan berkenaan dibuat bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tindakan menandatangani itu dibuat atas kapasiti peribadinya dan bukan mewakili G25.
“Keseluruhan sistem hendaklah ditukar. Kita mesti mewujudkan sistem sekat dan imbang, yang mana ia adalah jaminan terbaik membendung salah guna kuasa.
“Malaysia adalah antara negara yang paling korup dan segelintir masalah itu berpunca dari zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri,” katanya kepada FMT, hari ini.
Noor Farida berkata, dalam keadaan negara pada masa kini, beliau meluahkan rasa tidak yakin bahawa Wawasan 2020 akan dapat dicapai.
“Kita kena lebih pragmatik. Saya rasa seluruh rakyat Malaysia perlu berganding bahu menolak rasuah kerana ia semakin parah,” katanya.
Terdahulu, peguam aktivis, Datuk S Ambiga, Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dan aktivis politik, Hishamuddin Rais menyaksikan beberapa individu termasuk Noor Farida menandatangani Deklarasi Rakyat.
Antara individu terbaharu yang menandatanganinya ialah aktivis membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Azlan Awang dan pengasas badan bukan kerajaan, Lawyers for Liberty, Eric Paulsen.
