Gesaan tersebut dibuat oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) selepas tinjauan mendapati wujud kegiatan mengorek pasir di sungai tersebut yang menyebabkan air sungai berkenaan keruh dan berkelodak manakala berlaku mendapan lumpur yang serius di sepanjang sungai tersebut.
Presiden SAM, S.M Mohamed Idris menyampaikan kekesalan itu apabila kegiatan itu didapati menjejaskan alam sekitar dari segi pencemaran air sungai, kestabilan tanah dan tebing sungai yang terancam, pemendapan tanah, gangguan kepada hidupan akuatik selain berlaku perubahan kepada aliran air sungai.
“Banjir kilat juga mungkin berlaku kerana sungai menjadi cetek.
“Jadi, SAM berharap pihak berkenaan mengambil tindakan menghentikan operasi mengambil pasir di sungai ini supaya siasatan dan kajian terperinci dapat dilakukan,” kata Mohamed Idris dalam satu kenyataan media.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan jalan raya, infrastruktur lain dan kawasan penempatan penduduk di hilir sungai turut terjejas jika berlaku hakisan dan tanah runtuh akibat kerja-kerja mengorek pasir.
“SAM menegaskan bahawa mereka yang melanggar peraturan serta syarat wajar dikenakan hukuman yang setimpal termasuk membatalkan atau menarik balik permit yang diberikan,” katanya lagi.
SAM juga dilapor telah menghantar surat kepada jabatan-jabatan yang terlibat termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya siasatan segera dilakukan dan tindakan berkesan diambil bagi mengatasi masalah ini.