Putrajaya diseru penuhi janji gubal akta haram ucapan kebencian

Putrajaya diseru penuhi janji gubal akta haram ucapan kebencian

SUHAKAM berkata Malaysia masih jauh dalam usaha merealisasikan matlamat untuk mewujudkan keharmonian antara etnik, kaum dan agama.

Tan-Sri-Hasmy-Agam,suhakam

PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menyeru kerajaan memenuhi janji untuk mengubal Akta Jenayah Kebencian Kaum dan Agama bertujuan mengharamkan ucapan berunsur kebencian.

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam berkata, kerajaan juga perlu mengubal Akta Penyelarasan dan Keharmonian Nasional bertujuan melarang diskriminasi.

“SUHAKAM berpendapat bahawa mempromosikan sikap toleransi dan saling memahami semua orang adalah sama dari segi maruah dan hak-hak mereka akan memberi sumbangan besar kepada masyarakat yang lebih harmoni dan tenteram serta bebas daripada prasangka, sikap tidak bertoleransi dan stereotaip,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan itu sempena meraikan Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum 2016 yang disambut setiap tahun pada 21 Mac, bertemakan “Cabaran dan Pencapaian Deklarasi Durban dan Program Tindakan – Selepas 15 tahun”.

Hasmy berkata, situasi semasa membuktikan bahawa Malaysia terus berhadapan dan masih jauh dalam usaha merealisasikan matlamat untuk mewujudkan keharmonian antara etnik, kaum dan agama yang telah diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

Katanya, kajian oleh Centre for a Better Tomorrow (CENBET) mendedahkan bahawa walaupun secara keseluruhan kajian menunjukkan responden menentang perkauman tetapi hasil kajian juga menyatakan bahawa satu daripada tiga rakyat Malaysia tanpa disedari atau diakui mempunyai
perasaan perkauman.

Beliau berkata, walaupun Perlembagaan Persekutuan boleh memberikan perlindungan berkaitan diskriminasi kaum kepada rakyat, SUHAKAM mengulangi keperluan Malaysia menyertai Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Ia bagi memenuhi tanggungjawab Malaysia secepat mungkin bagi menghapuskan diskriminasi kaum dalam segala bentuk dan manifestasi.

“Ini juga bagi menjamin persefahaman dan menghormati maruah sesama manusia dan tindakan ini seterusnya dapat menterjemahkan komitmennya kepada prinsip asas memartabatkan maruah setiap insan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.