KPM nafi khabar angin pengajaran POL dihenti

KPM nafi khabar angin pengajaran POL dihenti

Walaupun benar wujud masalah kekangan kewangan dalam melaksana pembelajaran POL, tetapi ia tidak harus dijadikan sebab untuk menghentikannya.

Kamalanathan_schoolr_600

PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan menghantar maklumat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menghentikan kelas-kelas bahasa ibunda (POL) seperti yang tersebar di media sosial.

Timbalan Menterinya Datuk P. Kamalanathan berkata, KPM sebaliknya mengarahkan agar semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan di Malaysia untuk memulakan pengajaran kelas POL itu.

“Baru-baru ini saya mendapat khabar angin bahawa Kementerian Pendidikan menghantar satu surat kepada JPN untuk menghentikan kelas bahasa ibunda.

“Saya ingin menafikan perkara itu dan menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia tidak pernah menghantar apa-apa maklumat seumpama itu kepada mana-mana JPN ataupun PPD (Pejabat Pendidikan Daerah),” katanya pada sidang medianya di sini hari ini.

Kamalanathan menambah, beliau turut kecewa sekiranya ada pegawai-pegawai pendidikan yang telah menghantar maklumat terbabit kepada orang lain bahawa KPM mengarahkan untuk berbuat demikian.

Katanya, walaupun benar wujud masalah kekangan kewangan dalam melaksana pembelajaran bahasa ibunda terbabit, tetapi ia tidak harus dijadikan sebab untuk menghentikannya.

“Tanggungjawab PPD dan JPN ialah memastikan bahasa ibunda diteruskan. Sekiranya ada masalah kewangan, maklumkan kepada KPM, KPM akan mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah tersebut,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.