
Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, sikap sesetengah pemimpin dan gerakan berkenaan secara tidak langsung juga telah menjejaskan keselamatan negara kerana menimbulkan suasana tidak harmoni.
“Kita meninjau keadaan politik semasa, kerana keadaan amat mendesak atas apa yang berlaku. Hasrat kita hendak menyatakan sokongan kepada kepimpinan kerajaan yang ada ini.
“Pucuk pimpinan negara kita kini dicabar kerana mereka hendak suruh Najib berhenti. Cara Deklarasi Rakyat bukan satu daripadanya,” katanya dalam sidang media selepas menandatangani deklarasi menyokong Najib bersama 42 NGO di Hotel WP, hari ini.
Ujar Abdul Aziz lagi, terdapat cara sewajarnya yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menukar pemimpin.
“Najib boleh dipilih atau diturunkan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Kemudian, ahli-ahli UMNO juga boleh tidak memilih Najib sebagai Presiden UMNO.
“Kita tahu, apabila seseorang itu gila, dia secara automatik tidak layak menjadi calon untuk bertanding pada PRU,” jelasnya.
Mengulas lanjut, tindakan gerakan Deklarasi Rakyat yang mengadakan ‘road show’ dan mengutip tandatangan dari orang ramai juga dilihat sebagai tindakan yang salah.
“Bukan cara kutip tandatangan di jalan, ia tidak kena tempat, bertentangan dengan proses undang-undang,” jelasnya.