Putrajaya patut bawa usul hudud di Parlimen

Putrajaya patut bawa usul hudud di Parlimen

Jika undang-undang di Kelantan dipinda, hudud masih tidak boleh dilaksanakan kerana ia turut melibatkan akta peringkat kerajaan Persekutuan.

Takiyuddin-Hassan_hudud_kelantan_

KUALA LUMPUR :
Kerajaan Persekutuan sepatutnya membentangkan Rang Undang-Undang Pelaksanaan (RUU) hudud di Parlimen, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan

Ini kerana menurut Bekas EXCO Kelantan itu, RUU hudud turut melibatkan akta kerajaan Persekutuan dan bukannya perundangan peringkat kerajaan Kelantan sahaja.

“Saya berpandangan kerajaan Persekutuan sepatutnya angkat RUU ini sebab melibatkan akta peringkat Persekutuan.

“Apa yang kita cuba angkat sebelum ini, bukanlah akta hudud tapi untuk tingkatkan kuasa mahkamah syariah. Kalau dipinda pun tak boleh laksana (hudud) sepenuhnya,” katanya kepada media, hari ini.

Pada sidang Parlimen tahun lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba membawa RUU persendirian untuk meminda undang-undang Persekutuan, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, bagi membuka jalan kepada pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan dan negeri-negeri lain.

Bagaimanapun RUU tersebut tidak sempat dibahaskan kerana memberi laluan kepada RUU yang lebih penting kepada masyarakat awam.

Takiyuddin bagaimanapun menyatakan perbincangan selanjutnya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom memberi petunjuk positif dan memungkinkan RUU tersebut dibentangkan pada sesi Parlimen seterusnya.

“Baru-baru ni Menteri di Jabatan Perdana Menteri beri ‘green light’ (lampu hijau).

“Mungkin (bentang) pada sesi Parlimen seterusnya, bukan sekarang kerana ada prosedur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.