Hajat Datuk Vida jumpa Ronaldo tidak kesampaian

Hajat Datuk Vida jumpa Ronaldo tidak kesampaian

Kekecewaan Hasmiza itu terubat apabila beliau sempat bergambar bersama Ronaldo ketika mengadakan lawatan ke Stadium Santiago Bernabeu petang semalam.

vida-ronaldo

PETALING JAYA:
Hasrat penaja utama pasukan The Red Warriors (TRW), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman untuk berjumpa dengan bintang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo petang semalam tidak kesampaian.

Ia ekoran bintang bola sepak dunia itu terpaksa menolak pertemuan dengannya pada saat akhir sebaik tamat perlawanan dengan Las Palmas di Stadium Gran Canaria, Sepanyol.

Mstar Online melaporkan, Hasmisa atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, ejen yang cuba mengatur pertemuan itu tidak memaklumkan sebab mengapa Ronaldo membuat keputusan berkenaan.

“Saya pun agak kecewa sebab pertemuan ini tidak kesampaian. Saya hanya merancang tetapi sudah tiada rezeki, nak buat macam mana,” katanya.

Kekecewaan Hasmiza itu bagaimanapun terubat apabila beliau sempat bergambar bersama Ronaldo ketika mengadakan lawatan ke Stadium Santiago Bernabeu petang semalam.

“Walaupun hanya dapat bergambar yang disunting dengan Ronaldo, tapi bila lihat ia seolah realiti. Apa pun tidaklah rasa kecewa sangat.

“Tambahan pula dapat meninjau di Stadium Santiago Bernabeu, sedikit sebanyak memberi maklumat yang cukup untuk saya bawa pulang ke Kelantan,” ujarnya.

Sebelum itu, Hasmiza melakukan tinjauan ke stadium Los Blancos di sana selama lebih dua jam bagi menyaksikan sendiri kemudahan yang disediakan bagi mendapatkan idea untuk diaplikasikan di Stadium Sultan Muhammad IV di kota Bharu, Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.