Budaya berkenaan sering dipraktikkan menerusi ceramah agama di surau atau masjid dan amalan berkenaan dikesan masih berleluasa di negara ini.
Anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata perkara itu amat membimbangkan kerana ia masih belum ditangani dengan berkesan.
“Sumber dan gejala ancaman daripada dalam telah kami timbulkan di Parlimen sejak dua tahun lepas, di mana budaya ‘takfiri’, hukuman ‘halal darah’ dan gesaan ‘wajib dihapuskan’ telah banyak kali dikeluarkan oleh pihak tertentu di pentas ceramah serta masjid dan surau.
“Sehingga kini tiada apa-apa tindakan sewajarnya diambil. Seperti diketahui umum, tindakan dibuat secara terpilih (selective prosecution), di mana hanya pihak tertentu sahaja yang dikenakan tindakan,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
Raja Kamarul Bahrin berkata, perkara berkenaan sudah disentuh oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah dalam titahnya baru-baru ini dan ia perlu diambil serius oleh kerajaan.
Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin berkata, Datuk Seri Najib Razak harus menjelaskan justifikasi penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Operation Northern Thunder di Arab Saudi bulan lalu.
Katanya, tindakan Malaysia menyertai latihan ketenteraan itu hanya menimbulkan spekulasi kurang enak mengenai hubungan luar selain mendedahkan negara kepada ancaman keganasan.
“Adakah penglibatan Malaysia untuk mengambil hati Kerajaan Arab Saudi dalam isu menyatakan derma RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib daripada Arab Saudi?” soal Raja Kamarul Bahrin.
