
Tiga wajah itu adalah Douglas Uggah Embas, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah; dan Stephen Rundi, Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi).
Sumber memberitahu FMT bahawa tiga ahli kanan parti itu merupakan pemimpin Dayak yang dipilih Adenan untuk menyuntik darah baharu ke dalam pentadbiran parti dan negeri itu.
Rombakan Adenan ini bermakna tirai melabuh buat pemimpin kanan PBB, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu.
Desas-desus Jabu tidak akan diketengahkan sebagai calon Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang telah berlegar sejak berbulan lama, lantaran riak-riak dalam kalangan warga Sarawak yang mahukan perubahan. Perubahan ini dilakukan meskipun Jabu berhasrat untuk berkhidmat sepenggal lagi.
Dalam pilihan raya negeri 2011, Jabu, yang juga merupakan Timbalan Presiden PBB, menang kerusi Dewan Undangan Negeri Layar dengan majoriti 1,916 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang PKR, SNAP dan seorang calon bebas.
Adalah difahamkan tempat Jabu dalam PBB dan hirarki kerajaan negeri akan diambil Uggah, yang akan dipanggil pulang dari Putrajaya dan dijadikan Timbalan Ketua Menteri seandainya beliau menang dalam pilihan raya negeri nanti.
Walaubagaimanapun, kerusi yang bakal ditandinginya belum diketahui.
Perihal Nanta, yang juga Ahli Parlimen Kapit, dan Rundi, yang juga ADUN Kemena, masing-masing dijangka dimasukkan ke jemaah menteri di peringkat persekutuan dan negeri.
Nanta ketika ini merupakan Naib Presiden PBB manakala Rundi pula Setiausaha Agung parti itu.