“Kenyataan Zahid cetus ketakutan rakyat Sabah”

“Kenyataan Zahid cetus ketakutan rakyat Sabah”

Abdul Ghapur tidak puas hati dengan kenyataan Zahid Hamidi berhubung isu keselamatan di Sabah.

Abdul-Ghapur-Salleh
PETALING JAYA : Seorang Ahli Parlimen Sabah tidak puas hati dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu keselamatan di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Ahli Parlimen Kelabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh berkata kenyataan yang dibuat Menteri Dalam Negeri itu berpotensi menjejaskan sektor pelancongan Sabah.

“Saya minta kenyataan dibuat secara bertanggungjawab. Ia mungkin tidak menjejaskan Semenanjung tetapi ia menjejaskan Sabah.

“Kami amat sedih kerana dengan kenyataan yang dibuat itu, di mana ia kemudiannya mendapat publisiti meluas, kami khuatir pelancong akan takut untuk datang ke Sabah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Zahid baru-baru ini dilaporkan berkata, berdasarkan maklumat risikan, ancaman keselamatan negara yang dahulunya berleluasa di Timur Sabah kini telah merebak ke kawasan Pantai Barat negeri itu,

Abdul Ghapur menambah, kenyataan yang dibuat oleh Zahid telah mencetuskan ketakutan terutama dalam kalangan rakyat Sabah.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan kerajaan memutuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Filipina kerana gagal menyelesaikan ancaman militan di Sabah.

“Rakyat di Sabah hidup dalam ketakutan dan sehingga kini, telah 53 tahun dan tidak diselesaikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.