
Dalam kritikan yang dituju kepada presiden partinya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Husam turut minta penjelasan tentang ayat Al-Quran yang tidak membenarkan penyokong meminta ketua yang melakukan jenayah dan merosakkan nama negara untuk meletakkan jawatan.
“Kalau pemimpin tidak bersalah, memang tak boleh suruh berhenti tetapi kalau ada kesalahan yang besar, cemarkan nama negara dan kedudukan institusi di bawah pimpinannya, anda kata tak boleh berhenti. Mana ayat Quran yang berkata demikian itu?
“Imam pun dalam Islam yang ketuai 1000 orang dalam solat, kalau makmum tak puas hati boleh minta tukar,” tegas beliau dalam forum ‘Pembangkang + Mahathir, berbaloikah untuk rakyat?’ di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor pada Ahad malam.
Abdul Hadi pada 7 Mac lalu bertegas bahawa PAS hanya bersetuju untuk mengubah kerajaan dan perdana menteri melalui pilihan raya.
Anggota Parlimen Marang itu, sebelum ini turut menyatakan bahawa Islam tidak menggalakkan umatnya menukar pemimpin.
Husam yang sebelum ini mendakwa Abdul Hadi ditipu Umno membidas kenyataan itu dengan mempersoalkan sebab tiada sesiapa yang berpendirian demikian ketika mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad meminta penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan pada 2009.
Husam secara sinis bertanya apakah keistimewaan Najib sehingga dilayan lain daripada yang lain oleh sebilangan pimpinan parti Islam itu.
“Ketika Pak Lah (Abdullah) diminta berhenti oleh Mahathir…semua kata boleh, tapi macam mana bila Tun Mahathir minta Najib berhenti, tak dibenarkan, ada orang marah, ada kata salah.
“Ada yang kata, ini amalan yang dibenarkan dalam politik negara kita. Apa istimewanya Najib?,” soal beliau.