Marxisme Kilat: PSM tunggu maklumbalas polis

Marxisme Kilat: PSM tunggu maklumbalas polis

Polis diminta memberi notis bertulis tiga hari sebelum penganjuran kursus sekiranya PSM melanggar undang-undang

marxisme

PETALING JAYA :
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menunggu maklumbalas daripada polis sebelum meneruskan Kursus Marxisme Kilat yang dijadualkan berlangsung 20 Mac ini.

Setiausaha Agungnya, Sivarajan Arumugam berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada polis bahawa PSM sedia bekerjasama berhubung penganjuran kursus itu.

Justeru, polis diminta memberikan notis bertulis dalam tempoh tiga hari sebelum penganjuran kursus Marxisme Kilat sekiranya PSM melanggar undang-undang, dan pihaknya akan membatalkan kursus itu.

“Memang dia (polis) rasa (jika) benda ini ada isu, langgar undang-undang, ada apa-apa, biar mereka (polis) bagi tahu secara bertulis dan kita terpaksa patuh kepada arahan.

“Tapi kalau kita rasa arahan yang dia (polis) bagi itu tak betul, kita memang akan cabar benda (bawa ke mahkamah),” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai adakah pihaknya akan meneruskan Kursus Marxisme Kilat yang akan diadakan di di Dewan Budaya Gerakbudaya di Petaling Jaya.

Hari ini, seramai enam orang ahli PSM diambil keterangan di Balai Polis Daerah Petaling Jaya secara bergilir-gilir berhubung penganjuran kursus terbabit bermula jam 2.30 hingga 6.00 petang tadi.

Sivarajan memaklumkan, sehingga kini seramai 70 orang dijangka akan menyertai kursus berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.