
Beliau yang menjawab soalan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini berkata, jumlah itu selaras dengan Pengubahsuaian Bajet 2016 berbanding sasaran kutipan asal pada RM125.6 bilion.
Katanya, kutipan cukai langsung yang merangkumi cukai pendapatan individu, syarikat, koperasi, cukai pendapatan petroleum huluan, duti setem dan cukai keuntungan harga tanah oleh LHDN bagi 2015 berjumlah kira-kira RM111.8 bilion.
Chua berkata, dari segi jumlah denda atau penalti yang dikenakan LHDN daripada aktiviti audit cukai bagi tempoh lima tahun lepas iaitu 2011 hingga 2015 berjumlah RM4.4 bilion iaitu 0.8 peratus daripada jumlah kutipan hasil cukai langsung bagi tempoh berkenaan.
“Sementara bagi jumlah denda atau penalti daripada aktiviti penyiasatan pula, jumlahnya adalah RM0.8 bilion atau 0.1 peratus daripada jumlah kutipan hasil cukai langsung bagi tempoh sama,” katanya.
Dalam pada itu, Chua berkata, seramai 173,000 orang rakyat tempatan telah disekat daripada keluar negara akibat tidak membayar cukai hingga 31 Disember 2014 dengan jumlah keseluruhan nilai cukai ialah RM4 bilion.
Katanya, hasil tindakan di bawah Seksyen 104 Akta Cukai dan Pendapatan 1967 itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengutip semula RM1.3 bilion.
“Langkah lain yang dilakukan kerajaan bagi mengesan pengelak cukai ialah melalui pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di samping pengumuman Perdana Menteri mengenai pengubahsuaian Bajet 2016 yang telah menawarkan pengurangan penalti dan penghapusan kenaikan cukai,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang ingin tahu mengenai mekanisme kerajaan untuk membanteras golongan pengelak cukai dalam negara.
-BERNAMA