John Legend membuat tweet itu bagi menjawab anak lelaki Trump, Donald Trump Jr. yang mengutuk penunjuk perasaan yang membantah kempen bapanya di Universiti Illinois di Chicago sehingga acara itu terpaksa dibatalkan.
“5 pelajar yang ditanya tidak mampu menjawab mengapa mereka membantah. Penyertaan generasi pingat/micro aggression sangat menyedihkan!”, tulis Donald Jr. menerusi Twitternya.
Ia kemudian dibalas oleh John Legend “Saya rasa mereka membantah ayah anda yang rasis. Ini bukan perkara rumit”.
Tweet penyanyi itu mendapat liputan meluas media di Amerika Syarikat dan menerima sokongan ramai. Malah, ada pengguna Twitter yang menganggap Trump lebih teruk daripada Hitler.
Sebelum ini, penyanyi Adele melarang Trump menggunakan lagunya Rolling In The Deep di sepanjang tempohnya berkempen.
Media Amerika Syarikat menganggap kenyataan John Legend itu sangat berasas kerana sikap rasis melampau Trump yang menyebabkan penduduk negara itu dan seluruh dunia kurang senang.
Trump pernah mencadangkan dibina tembok di sepanjang sempadan Amerika Syarikat- Mexico dan larangan kepada orang Islam memasuki negara Big Apple itu.
Dia juga berkongsi tweet yang mengandungi maklumat salah tentang orang kulit hitam dengan mengaitkan kadar jenayah di negara itu.
Media juga melaporkan kempen jutawan selebriti penuh kontroversi itu sering diganggu penunjuk perasaan yang terdiri daripada aktivis yang membantah sikap rasisnya.