60% Orang Asal tolak BN pada PRU-14 kerana tertindas

60% Orang Asal tolak BN pada PRU-14 kerana tertindas

Orang Asal sudah hilang kepercayaan kepada karajaan ketika ini, kerana terpalit pelbagai skandal, ditambah pula dengan pelbagai janji sebelum pilihan raya gagal ditunai.

Yusri-Ahon_umno_bn_600

PETALING JAYA:
Lebih 50% masyarakat Orang Asal di seluruh negara akan menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Yusri Ahon membuat rumusan itu berdasarkan keluhan yang dibuat kebanyakan masyarakat Orang Asal apabila banyak janji yang ditabur kerajaan BN gagal ditunaikan

Perkara itu diburukkan lagi dengan pelbagai dakwaan skandal serta rasuah yang dihadapi kepemimpinan kerajaan ketika ini sehingga memaksa rakyat menanggungnya.

“Orang Asal akan tolak UMNO dan BN, saya yakin walaupun bukan 100% tetapi 50 hingga 60% akan menolak dan tidak menyokong kerajaan sedia ada pada PRU-14.

“Antara sebab lain mereka hilang kepercayaan kepada kerajaan ialah banyak janji tidak ditunaikan dan nasib mereka tidak terbela, antaranya tiada elektrik, air, hak tanah serta pendidikan,” katanya kepada FMT, di sini, semalam.

Mangulas isu Orang Asal tiada bekalan elektrik dan air di Dengkil yang bersempadanan Putarajaya, beliau berkata, banyak lagi masyarakat Orang Asal menerima nasib yang sama.

“Banyak lagi, contoh, di Bera, Pahang, di Kelantan dan lain-lain. Antara sebabnya ialah kerajaan tidak pernah mahu mendengar suara Orang Asal.

“Banyak kawasan Orang Asal diambil oleh pihak tertentu untuk aktiviti pembangunan sehingga terpaksa lari mencari tempat baharu. Kalau kerajaan mengutamakan Orang Asal mereka seharusnya mendidik Orang Asal, bukannya menindas dan menghalau begitu sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.