
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membentangkan usul itu, Ahli Parlimen PAS dan juga Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menyokongnya.
“Di Parlimen tak naik (usul undi tak percaya pada Najib). Kalau naik mungkin kita akan sokong.
“Usul itu tak naik. Kita sokong kalau ada usul untuk undi tak percaya. Kita akan sokong tapi biarlah ada dulu usul itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin juga mendedahkan parti Islam itu akan membentuk blok politik ketiga dalam landskap politik negara bagi menghadapi PRU 14.
“PAS akan ada blok pembangkang dia sendiri. Saya akan umumkan pada 16 Mac depan kita akan ada satu kerjasama dengan satu badan politik negara.
“Di Malaysia, ada lebih 20 parti politik yang berdaftar, jadi ada yang milik satu kelompok dan ada parti milik satu bangsa, tapi tujuan untuk menghadapi pilihanraya. Sebab itu kita dah umumkan kita adalah blok pembangkang iaitu blok politik ketiga,” katanya lagi.
Menurut Takiyuddin, Perlembagaan PAS juga tidak menghalang parti tersebut untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai arah tuju sama dengan parti berkenaan.
Ditanya lagi oleh wartawan supaya memberikan bayangan mengenai parti yang akan bekerjasama dengan PAS, Takiyuddin enggan mengulas lanjut.
Jelas Takiyuddin, kerjasama itu mengetengahkan budaya politik matang.
“Kerjasama itu adalah langkah terbaharu Pas dalam mengorak langkah selepas tidak menyertai Pakatan Harapan yang kini disertai Parti Amanah Negara (AMANAH) bersama PKR dan DAP,” katanya.
Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan UMNO.