Jamal Yunus ketuai 140 NGO isytihar tolak Tun M, sekutu

Jamal Yunus ketuai 140 NGO isytihar tolak Tun M, sekutu

Beliau juga bercadang menghimpunkan 5,000 wakil NGO seluruh negara pada minggu depan atas tujuan yang sama.

jamal-yunus

SHAH ALAM:
Sejumlah 140 NGO seluruh Selangor semalam mengisytiharkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Bertempat di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, deklarasi itu diketuai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunus yang terkenal dengan ‘Himpunan Baju Merah’ yang penuh kontroversi pada tahun lalu.

“Saya mewakili NGO-NGO di negeri Selangor melafazkan ikrar taat setia tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Kami juga menolak sekeras-kerasnya Deklarasi Rakyat yang diketuai Mahathir dan konco-konconya kerana ia tiada asas dan hanya jalan pintas ke Putrajaya,” katanya.

Menurutnya, antara NGO yang menyertai deklarasi itu adalah Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Persatuan Kebajikan Melayu Kelang (PKMK) dan kira-kira 20 kelab motosikal seluruh Selangor.

Ini adalah satu lagi deklarasi oleh pihak pro-Najib untuk menolak Deklarasi Rakyat yang ditandatangani 4 Mac lalu oleh gabungan Mahathir dengan pembangkang dan NGO.

Semalam juga bertempat di PWTC, Kelab Naib-naib Ketua Bahagian UMNO 1Malaysia menyerahkan memorandum ‘Menyokong Penuh Kepimpinan Perdana Menteri’ kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Jamal berkata, tindakan Mahathir tersebut hanya mencemarkan nama baiknya sebagai pemimpin negara.

“Kami juga merasa kesal dan terhina atas tindakan Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan tokoh UMNO lain yang bersekongkol dengan DAP yang rasis untuk jatuhkan Perdana Menteri,” katanya lagi.

Katanya lagi, deklarasi ini hanyalah satu permulaan, dan mengumumkan akan mengumpulkan 5,000 wakil NGO seluruh negara untuk menyatakan sokongan kepada Najib dan menolak Mahathir.

“Saya bercadang untuk menghimpun 5,000 wakil NGO satu Malaysia pada minggu depan untuk sampaikan deklarasi kepada Tun,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.