Pesta Buku Antarabangsa KL 2016 sasar lebih 2.5j pengunjung

Pesta Buku Antarabangsa KL 2016 sasar lebih 2.5j pengunjung

Kelainan tahun ini ialah 'street mall' yang menempatkan pelbagai aktiviti khusus untuk meningkatkan pengetahuan dan berbentuk hiburan selain 'food truck'.

Kamalanathan_book-fair_600

SERDANG:
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 (PBAKL 2016) yang akan berlangsung di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini mulai 29 April hingga 9 Mei dijangka menarik lebih 2.5 juta pengunjung, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan.

Beliau berkata sasaran pengunjung pada tahun ini adalah berdasarkan PBAKL tahun lepas yang mencatatkan 2.5 juta pengunjung.

“Pesta buku sentiasa mencatatkan sambutan yang menggalakkan tahun demi tahun. Pada tahun 1982 pesta buku yang diadakan menarik hampir 100,000 pengunjung dan pada tahun lepas jumlah pengunjung adalah 2.5 juta.

“Industri buku di Malaysia merupakan industri yang sihat dan rakyat Malaysia sentiasa dahagakan bahan bacaan sama ada untuk mencari ilmu, mendapatkan kecemerlangan dalam peperiksaan, mengisi masa lapang, menikmati hiburan atau seumpamanya,” katanya ketika berucap pada prapelancaran PBAKL 2016, di sini Selasa.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Industri Buku Malaysia Ishak Hamzah berkata PBAKL 2016 yang bertukar ke lokasi baharu iaitu MAEPS pada kali ini akan menonjolkan konsep karnival dan festival.

Beliau berkata antara kelainan pada PBAKL tahun ini ialah ‘street mall’ yang menempatkan pelbagai aktiviti khusus untuk meningkatkan pengetahuan dan berbentuk hiburan selain ‘food truck’.

“Konsep karnival yang diadakan pada kali ini bertujuan memberi keselesaan kepada pengguna,” katanya.

PBAKL, yang merupakan pesta buku terbesar di Asia Tenggara, kali ini akan melibatkan 800 buah gerai pameran dengan penyertaan kali kedua Arab Saudi dalam bentuk ‘country pavillion’ ekoran sambutan yang menggalakkan tahun lalu.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.