Naib Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, sejarah membuktikan ketika jawatan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad diganti dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi seterusnya dilepaskan kepada Najib membolehkan UMNO kekal memerintah walaupun 51 peratus undi popular pada PRU 2013 ketika itu memihak kepada pembangkang.
“Jika hanya menukar Najib di Parlimen, dan menaikkan pemimpin lain dari parti yang sama ia tidak akan mengubah apa-apa, malah, mungkin lebih teruk sebagaimana menukar Pak Lah kepada Najib.
“Hanya dengan menewaskan UMNO-BN secara seluruhnya dalam pilihan raya, barulah akan dilihat perbezaan dalam corak kepimpinan negara. Parti yang memerintah pasti lebih berhati-hati demi mengekalkan kuasa.
“Ini berbeza dengan keadaan sekarang kerana lebih separuh abad UMNO-BN memerintah tanpa ditukar ganti dan mereka merasa terlalu selesa dengan hanya menukar pucuk pimpinan untuk menarik semula sokongan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Khairil berkata demikian, mengulas tindakan Dr Mahathir serta pemimpin pembangkang menandatangani Deklarasi Rakyat mendesak Perdana Menteri berundur.
Khairil menambah, PAS tidak menolak empat tuntutan menerusi Deklarasi Rakyat yang telah dibentangkan bekas Perdana Menteri itu kerana ia turut terkandung di dalam perjuangan parti Islam itu selama ini.
“Bagaimanapun, PAS melihat deklarasi itu terlalu kecil berbanding harapan rakyat, kerana beberapa perkara lain yang sepatutnya dimasukkan tidak dimasukkan.
“Fokus deklarasi sepatutnya menuntut campurtangan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi memberikan laluan kepada pilihan raya dibuat lebih awal. Hanya ini jalan terbaik bagi menukar pemimpin dalam kerajaan sedia ada. Biar rakyat menjadi hakim dalam menentukan masa depan kepimpinan negara yang baru,” katanya.
Pada masa sama, Pemuda PAS melontarkan persoalan kepada Dr Mahathir sama ada beliau sanggup bersama pembangkang untuk menukar kerajaan kepada parti selain UMNO atau ingin menukar Perdana Menteri untuk menguatkan kembali parti Melayu itu.
Sebelum ini, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempertahankan Deklarasi Rakyat yang menurutnya tidak bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan BN tetapi hanya bertujuan untuk menggantikan Datuk Seri Najib Razak dengan seorang Perdana Menteri lain dari parti pemerintah itu.
