Ketua Penerangan, Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan P.Punithan berkata, rakyat tidak akan lagi terpengaruh dengan sandiwara politik Dr Mahathir lebih lebih lagi apabila beliau menjadikan musuh ketat politiknya dari PKR dan DAP sebagai kuda tunggangan untuk mencapai hasratnya.
“Kerjasama ini pun bagi saya tidak akan bertahan lama kerana sejarah tahu betapa mendalamnya dendam masing-masing,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Punithan juga meminta Dr. Mahathir bertindak “gentleman” mengendalikan isu ini antara ‘man to man’ daripada melibatkan rakyat kerana katanya, rakyat telah memilih Najib dan BN (UMNO, MCA, MIC dan komponen lain) menerusi sistem demokrasi yang adil.
“Walaupun bukan ahli UMNO lagi, kedudukan Dr.Mahathir di sini sebagai seorang pemimpin yang dijunjung adalah atas tiket UMNO, walhal saya dengan rendah diri meminta agar beliau tidak melupakan segala-galanya yang diperoleh menggunakan tiket BN/UMNO.
“Justeru, saya juga meminta beliau supaya tidak bertindak mengkhianati BN dan mengecewakan kami yang sedang bertungkus-lumus memastikan survival parti ini demi Malaysia yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya lagi.
Punithan berkata MIC tidak akan termakan dengan taktik kotor Dr Mahathir dan konco-konco baharu beliau walaupun menggunakan nama rakyat kerana percaya dengan kepimpinan Najib yang benar-benar berpaksi kepada rakyat.
