Tipulah kalau harga roti canai tak naik – PSM

Tipulah kalau harga roti canai tak naik – PSM

Sebelum ini banyak jaminan diberikan tetapi akhirnya harga barang keperluan tetap juga dinaikkan dan sekaligus menambah beban rakyat.

SIVARAJAN,roti-canai
KUALA LUMPUR: Pengguna dinasihatkan supaya tidak mudah tertipu dengan jaminan harga roti canai dan makanan berasaskan gandum tidak akan naik walaupun kerajaan menarik balik subsidi gandum 25 kg.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sivarajan Arumugan berkata, jaminan yang diberikan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) hanya helah semata-mata.

“Saya tak fikir begitu sebab bila dia kata harga barang terkawal pun kita dah dapat lihat dalam masa setahun lepas pelbagai kenaikan harga barang telah berlaku.

“Semua naik dan sekarang tepung gandum iaitu barang asas, sudah tentu roti akan terjejas. Begitu juga dengan roti putih,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat PSM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, tindakan kerajaan menghapuskan subsidi tepung gandum seberat 25 kilogram semalam sudah dijangka apabila kerajaan membuat penyelarasan dalam Bajet 2016 lalu.

Katanya, penghapusan subsidi itu berlaku kerana kerajaan percaya dengan modul ekonomi kapitalis.

“Ini merupakan satu senario model ekonomi yang memang jelas kerajaan percaya dengan modul ekonomi kapitalis.

“Di mana tanggungjawab kerajaan ditarik balik dan rakyat kena bayar semua atau pun tanggungjawab kerajaan ditarik balik dan kita bantai rakyat habis-habisan,” katanya.

Semalam dilaporkan para penggemar roti canai dan makanan berunsurkan gandum mungkin akan berdepan dengan kenaikan harga ekoran langkah kerajaan menghapuskan subsidi seguni tepung gandum seberat 25 kilogram.

Perkara itu diberitahu oleh para pengilang tepung selepas mereka menghadiri mesyuarat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) minggu lepas.

Tambah Sivarajan, langkah tersebut dibuat kerajaan demi kepentingan korporat.

“Pertama GST, itu sudah jelas di mana cukai korporat dikurangkan dan cukai pengguna diperkenalkan. Yang mana kerajaan hanya mahu jaga kepentingkan korporat dan bebankan rakyat.

“Kedua, pengurangan subsidi seperti yang diamalkan di negara Eropah,” kata Sivarajan.

Malah, Sivarajan menjangkakan lebih banyak lagi subsidi yang diberikan kerajaan sebelum ini akan dihapuskan.

“Banyak lagi pengurangan subsidi yang akan dibuat kerajaan pada masa akan datang. Langkah tersebut dibuat mengikut modul ekonomi yang mendesak kerajaan menarik balik tanggungjawab dia dengan membiarkan rakyat membayar semua kenaikan tersebut,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.