Gaji minima hanya naik RM100, PSM tuduh kerajaan menipu

Gaji minima hanya naik RM100, PSM tuduh kerajaan menipu

Selama tiga tahun rundingan untuk menaikkan gaji minima akhirnya kerajaan bersetuju menaikkan sebanyak RM100 kepada RM1,000 berbanding tuntutan RM1,500 sebulan.

MTUC
KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendakwa Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) menipu dalam isu penyelarasan gaji minima yang diumumkan baru-baru ini.

Setiausaha PSM, Sivarajan Arumugam berkata, MPGN gagal memberi alasan munasabah untuk memberi penjelasan setelah kerajaan hanya mambuat pengumumkan kenaikan sebanyak RM100 menjadi RM1,000 bukannya RM1,500 seperti yang dituntut.

“Kami amat tidak berpuas hati, kita tidak boleh terima tiga setengah tahun kerajaan hanya boleh naikkan RM100 sahaja.

“Apabila ditanya kenapa MPGN hanya memberikan kenaikkan RM100, mereka hanya memberi alasan tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan kerana terikat dengan Seksyen 54 Akta MPGN 2011 yang menghalang mana-mana ahli MPGN daripada mededahkan ‘kerahsian’.

“Alasan MPGN yang kononnya terikat menjaga rahsia hal ehwal hanya tipu helah untuk menutup kebenaran bahawa peningkatan RM100 tidak boleh justifikasi,” katanya dalam sidang media di pejabat PSM di sini hari ini.

Sehubungan itu, PSM mendesak pihak MPGN untuk mendedahkan kiraan yang telah dibuat pihak mereka untuk menentukan kenaikkan gaji minima hanya boleh dibuat RM100 sahaja.

“Kami mempelawa MPGN untuk menjelaskan kepada pekerja Malaysia bahawa peningkatan RM100 selepas tiga tahun setengah itu adalah rasional. Sekiranya mereka gagal pihak PSM akan terus mendesak supaya MPGN dan kerajaan menunaikan tuntukan kami untuk membuat peyelarasan gaji minima RM1500 dan akan mendedahkan kepada rakyat alasan yang tidak masuk akal yang diberikan pihak kerajaan,” katanya.

PSM turut mendakwa kerajaan terlalu tunduk dengan pihak majikan untuk tidak menetapkan gaji minima RM1, 500 sekaligus menjadikan rakyat mangsa untuk berdepan dengan kos sara hidup yang semakin mengila.

Mengulas rancangan Petronas untuk menamatkan perkhidmatan 1,000 kakitangannya, Sivarajan berkata pihaknya sudah menjangkakan perkara itu susulan kejatuhan harga minyak dunia.

Beliau medesak kerajaan menubuhkan tabung pemberhentian pekerja bagi membolehkan pekerja yang dipecat mendapat perlindungan yang secukupnya.

“Setiap kali krisis ekonomi, kaum pekerja yang akan dimangsakan. Maka tabung pemberhentian kerja perlu diwujudkan untuk menyediakan pampasan penamatan kerja dan dijadikan sebagai elaun bulanan seseorang itu sementara mendapat pekerjaan baharu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.