Petaling Jaya: Jika benar Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno berlandaskan prinsip, beliau sepatutnya sudah lama mengambil tindakan tersebut, bukan baru semalam.
Demikian kata blog pro-Umno myKMU memandangkan alasan bekas Perdana Menteri sebagai punca beliau keluar parti semalam sudah pun berlaku pada tahun lalu.
“Selain Muhyiddin yang digantung (daripada jawatan Timbalan Presiden Umno) Jumaat lepas dan anaknya yang dibuang (daripada jawatan Menteri Besar Kedah) awal bulan lepas, semua alasan yang dinyatakan Mahathir telah sampai ke kemuncaknya pada Julai 2015.
“Tetapi kenapa dia baru keluar Umno semalam, tidak lebih awal?” soal myKMU.
myKMU menyangkal pandangan sesetengah pihak bahawa Mahathir mengambil tindakan sedemikian kerana prinsip, dan berkata, “Mahathir tidak pernah berprinsip dan tidak akan pernah ada.”
Mahathir semalam berkata punca beliau mengambil keputusan untuk keluar Umno buat kali ketiga kerana ia sudah menjadi parti yang hanya bertujuan melindungi Perdana Menteri dan Presiden, Datuk Seri Najib Razak.
myKMU mendakwa Mahathir sebenarnya mempunyai sebab tersembunyi yang lain atas tindakannya itu.
“Apa pun, Mahathir keluar masuk Umno ini bukanlah isu besar. Kalau dia anggap Umno macam tandas awam boleh keluar masuk ikut suka hati dia, maka kita pun boleh anggap dia macam benda yang dibuang dalam tandas itu jugaklah,” kata myKMU lagi.