Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, walaupun beliau menghormati apa sahaja keputusan Dr Mahathir namun bekas Perdana Menteri itu perlu kurangkan bermain politik.
“Saya berharap, pada masa depan ialah kita kurangkan berpolitik dan menumpukan banyak usaha untuk pembangunan rakyat,” katanya ketika diaju soalan pemberita mengenai tindakan Dr Mahathir keluar UMNO.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu ditemui di Kementerian Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Khalid, bekas ahli PKR yang dipecat itu berkata, Dr Mahathir berhak untuk memilih haluan politiknya memandangkan mantan Perdana Menteri itu sudah masak dengan politik negara.
“Saya tidak akan mencampuri tentang apa-apa yang dilakukan. Saya rasa itu keputusan dia, kalau dia buat keputusan itu (sertai parti pembangkang), baguslah untuk dia,” katanya.
Semalam, Dr Mahathir bercadang membentuk ‘kumpulan’ untuk ‘membebaskan’ negara daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.