Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamed berkata, pengunduran Najib sebelum PRU14 tidak akan memberi kelebihan kepada pembangkang.
Sehubungan itu, beliau berkata, usaha menjatuhkan Najib dan BN perlu dilakukan menerusi pilihan raya umum bukannya perhimpunan.
“Kalau macam yang lepas-lepas pun, buat himpunan macam mana pun, pihak pemerintah takkan berundur.
“Sebab itu maka kita lebih suka Najib habiskan penggalnya dan kita bertanding melawan Najib.
“Umpamanya Najib turun dan naik pula orang lain, ia (UMNO) akan mendapat sokongan yang lebih lagi. Seperti masa Tun Mahathir turun yang kemudiannya digantikan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), Pak Lah dapat majoriti lebih kuat lagi,” katanya yang dipetik daripada portal AntaraPos.
Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak akan menyertai perhimpunan anti Najib pada 27 Mac nanti yang dianjurkan bekas menteri kabinet, Datuk Zaid Ibrahim.
“Mungkin pandangan Presiden PAS yang tidak akan sertai himpunan anti-Najib itu kerana lebih suka kalau Najib habiskan penggal dan kita ikut saluran demokrasi,” kata Mahfodz.
