Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata keputusan berkenaan serta arahan supaya kertas siasatan dana RM2.6 bilion dan SRC International ditutup, dibuat secara kolektif.
“Peguam Negara tidak membuat keputusan secara berseorangan. Beliau mempunyai pasukan yang terdiri daripada pegawai perundangan terkanan dalam Pejabat Peguam Negara.
“Setiap maklumat yang diberi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diteliti dan dinilai. Beliau bukan tengok sahaja fail dan kemudian seorang diri buat keputusan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Abdul Rahman berkata demikian sebagai mengulas serangan tanpa henti daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Mohamed Apandi.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rahman berkata, meskipun Mohamed Apandi mempunyai kredibiliti, namun tetap ada pihak enggan menerima keputusan itu
Katanya, pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara kemudian sengaja menggambarkan Mohamed Apandi dengan gambaran yang sangat negatif.
“Saya tidak tahu apa lagi yang mahu dibangkitkan dan pada pandangan UMNO dan kerajaan, perkara itu sudah diselesaikan dengan keputusan Peguam Negara,” katanya.