Ramanan berasa tersinggung dengan kenyataan Sanjeevan hari ini yang menyoal mengapa Peguam Negara tidak mendakwa ahli MIC itu meskipun beliau diarah supaya memulangkan RM5.5 juta yang didakwa duit yang diperoleh secara tidak betul.
“Saya telah dilepaskan daripada semua tuduhan yang dibuat terhadap saya. Saya mempunyai semua dokumen membuktikan perkara itu. Bahkan, pengadu kes itu menarik balik laporannya.”
“Sri Sanjeevan tidak sepatutnya mengulas perkara yang dia tidak maklum, kerana ia mendedahkan dirinya kepada tindakan undang-undang,” katanya kepada FMT.
Pada 2014, Ramanan diarah Mahkamah Tinggi supaya memulangkan RM5.5 juta kepada doktor sakit jiwa, Tan Sri Dr M Mahadevan.
Memetik laporan The Sun Daily, Ramanan didakwa telah menyebabkan Mahadevan percaya bahawa beliau boleh membantu mendapatkan bayaran tertunggak berjumlah RM26.5 juta daripada Kementerian Pertahanan.
Menurut portal itu lagi, Mahadevan mendakwa Ramanan telah memperdayanya supaya membayar sejumlah RM5.5 juta bagi tujuan itu.
Bercakap kepada FMT, Ramanan berkata polis dan Peguam Negara melepaskan beliau daripada semua tuduhan. Beliau juga menuduh Sanjeevan “ejen” Presiden MIC, S Subramaniam, dan ditugaskan untuk menyerang kewibawaannya.
“Taktik kotor menghalalkan cara seperti ini untuk menangkis pengkritik menunjukkan betapa terdesaknya Subramaniam ketika ini.”
