Hati-hati ke Australia, nasihat Nazri Aziz

Hati-hati ke Australia, nasihat Nazri Aziz

Negara itu juga tidak bebas daripada ancaman militan IS selain kuat mengamalkan sikap perkauman.

nazri-aziz,-Australia,is

PUTRAJAYA:
Australia juga tidak selamat kerana negara Kanggaru itu tidak terlepas daripada ancaman militan IS, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Katanya, jika dibandingkan ancaman IS yang diterima di Malaysia, negara berkenaan lebih kuat menerima ancaman serangan dan pengeboman daripada puak pelampau.

Selain itu, kata Nazri, negara berkenaan juga kuat mengamalkan sikap perkauman atau rasis.

“Bukan Kuala Lumpur sahaja yang dapat ancaman, Australia pun lagi kuat ancaman” ujarnya dalam sidang media di Persidangan Meja Bulat Imam Kebangsaan 2016 Edisi Pelancongan Masjid di sini, hari ni.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati apabila pergi ke negara berkenaan.

“Pada saya kalau nak ingatkan rakyat dia (Australia) berhati-hati tidak ada masalah. Kita pun bagitahu rakyat kita hati-hati pergi ke sana sebab negara tu negara rasis,” tegasnya.

Kerajaan Australia mengeluarkan nasihat perjalanan pada Ahad lalu menyatakan serangan sembarangan mungkin dilakukan dan mungkin mensasarkan kepentingan Barat atau lokasi yang sering dikunjungi oleh orang Barat sebagai kemungkinan sasaran.

Nasihat perjalanan itu disiarkan di laman web Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia.

Ia juga menasihatkan rakyat Australia supaya ‘menimbang semula keperluan untuk pergi ke kawasan pantai timur Sabah’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.