Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) itu berkata, fahaman itu menyifatkan umat Islam lain yang tidak sealiran dengan Wahabi sebagai tidak mengikuti ajaran agama sebenar dan mengamalkan bidaah dan syirik.
Zamihan berkata, cabang fahaman Salafi Takfiri Jihadi dalam Wahabi dipegang oleh hampir semua kumpulan pengganas yang berjuang atas nama Islam termasuk Daesh dan Al Qaeda.
“Daripada Al-Qaeda kepada IS, semua ideologinya Salafi Takfiri Jihadi. Apa ideologi Boko Haram, Al-Shabaab yang sudah bunuh puluhan ribu orang Somalia, Jamaah Islamiyah di bawah Abu Bakar Bashir? Ia adalah ideologi Salafi Takfiri Jihadi.
“Siapa tidak ikut mereka, sesat dan kafir. Inilah yang dipegang IS (Daesh) yang juga merasakan boleh membunuh orang yang bukan beragama Islam, walaupun mereka tidak membuat apa-apa kesalahan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat ASWAJA di sini, semalam.
Zamihan berkata, beliau sudah menulis 23 buah buku bagi menerangkan bahaya fahaman Wahabi dan cabang pemikiran aliran itu termasuk Salafi Takfiri Jihadi.
Mengulas lanjut, Zamihan berkata, beliau mencadangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya menubuhkan sebuah pusat ‘counter-ideologi’ bagi melawan propaganda Daesh yang merekrut pengikut di internet, termasuk dari Malaysia.
“Ini amat penting. Seseorang tidak akan sanggup membunuh dan bertindak kejam walaupun diupah RM1 juta, tetapi boleh berbuat sebegitu kerana ideologi,” katanya yang mencontohi Sawab Center dan Kalam Research Center yang ditubuhkan Amerika Syarikat dan UAE untuk tujuan itu.
“Kita tidak perlukan belanja besar, sekitar RM2 juta setahun. Pusat ini boleh melihat topik dan fokus utama Daesh dalam propaganda mereka, dan bagaimana untuk menjawabnya semula. Selain itu menambah baik program pemulihan serta menganjurkan forum dan diskusi,” katanya lagi.
