Kejadian dilapor berlaku di Sekolah Rendah Rajkiya Prathmik Vidyalaya di negeri Bihar ketika waktu rehat.
Lebih menyayat hati apabila bapa kanak-kanak malang itu yang dikenali sebagai Mohamed, turut maut selepas dibelasah oleh sekumpulan guru selepas mangsa mempertahankan tindakan anaknya yang bernama Kasheeda itu.
Menurut laporan portal Mail Online, Kasheeda telah pulang ke rumahnya dalam keadaan menangis.
Ibu Kasheda, Rukhsana yang melihat keadaan anaknya itu telah bertanya kenapa ia bersikap demikian sebelum memberitahu kepada suaminya, yang kemudian bertindak ke sekolah untuk mendapatkan penjelasan.
Dia bagaimanapun, menerima nasib malang apabila dipukul oleh tiga orang guru sejurus tiba di sekolah itu.
Difahamkan, enam bulan lalu, anak lelakinya pernah dicampak ke bumbung sekolah dan patah tulang kaki hanya semata-mata kerana meminta makanan lebih.
Menurut Rukhsana, jirannya bertindak menghubungi polis susulan kejadian yang menimpa suaminya, tetapi pihak berkuasa lambat bertindak menahan suspek.
“Sekumpulan individu berpengaruh tampil menyalahkan kami sekeluarga terhadap kematian suami saya dan kami pernah dipaksa agar tidak memanjangkan kes yang berlaku pada anak lelaki saya sebelum ini,” katanya.
