Veteran UMNO kecewa langkah tukar Zamihan ke JAKIM

Veteran UMNO kecewa langkah tukar Zamihan ke JAKIM

Zamihan telah banyak menyumbang kepada usaha membanteras ajaran Syiah dan Wahabi di negara ini

mustapha-yaakub_zamihan_600

PETALING JAYA:
Langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengambil tindakan dengan menukar serta-merta Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Zamihan Mat Zain ke Jabatan itu merupakan sesuatu yang amat dikesali.

Setiausaha Kelab Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, walaupun JAKIM mempunyai hak untuk berbuat demikian kerana Zamihan adalah pegawainya yang dipinjamkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN), tetapi langkah menukarkannya dilihat terburu-buru dan tidak berpandangan jauh serta bermotif politik.

“Zamihan telah banyak menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan tahanan yang terbabit dengan gerakan pengganas dan ekstremis ugama serta pemulihan aqidah ajaran sesat.

“Beliau juga banyak menyumbang kepada usaha membanteras ajaran Syiah dan Wahabi dinegara ini antaranya memberi taklimat kepada Mesyuarat Raja-Raja Melayu mengenai bahaya Syiah,” katanya yang dipetik dari sebuah laman portal.

Menurut Mustapha, peranan Zamihan diterima baik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan banyak program untuk memberi kefahaman tentang pengganas IS diadakan bersama pasukan keselamatan itu.

Justeru, katanya, satu kesilapan besar yang dilakukan oleh JAKIM apabila memanggil balik Zamihan dari KDN.

Langkah itu dilihat sebagai usaha JAKIM untuk melindungi dan memberi kemenangan moral kepada pihak lain yang mahu melihat Zamihan menutup mulut memperjuangkan hal-hal penyelewengan akidah dinegara ini.

“Veteran amat bimbang fenomena ini akan berkembang dan menjadi penyakit yang akan sukar diubati akibat kejahilan akidah mereka yang sepatutnya bertanggungjawab membetulkan aqidah itu,” jelasnya.

Katanya, veteran UMNO sudah lama memerhati tindakan golongan yang cuba menyebar fahaman Wahabi di negara ini.

“Veteran ingin memberi amaran kepada kerajaan, sekiranya wabak ini tidak dibenteras dengan tegas, maka Malaysia akan berdepan dengan masalah besar yang akan melibatkan rakyatnya rosak aqidah dan sarang gerakan ekstremis IS,” ujarnya.

Baru-baru ini berlaku kemelut antara Zamihan dengan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung pandangan masing-masing dari sudut agama.

Krisis antara mereka berdua telah mencetuskan satu fenomena hingga mahu diadakan debat namun, ia terpaksa dibatalkan pada saat akhir ekoran sebab-sebab tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.