
Ini kerana, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan, seluruh negara sudah tahu sokongan teguhnya kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Sukar bagi saya untuk beri jawapan sama ada terima atau tidak jawatan itu. Ini kerana akan banyak persepsi yang akan timbul,” katanya kepada FMT.
Aminuddin bagaimanapun berkata, beliau akur jika Jemaah Pemangku Sultan Kedah berkenan untuk mengekalkannya sebagai EXCO.
“Saya selalu sebut sebagai wakil rakyat, saya perlu sentiasa beri perkhidmatan kepada rakyat. Saya ada sedikit pengalaman khusus dalam sukan dan ada kejayaan mengendalikan bola sepak Kedah.
“Bila dapat perkenan, ia jadi tanggungjawab memajukan negeri saya. Ya, saya terima kalau diperkenan,” tegasnya yang menafikan Mukhriz tiada kaitan jika beliau dikekalkan.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia, Datuk Norsabrina Mohd Noor juga sedia terima jika dikekalkan dalam pentadbiran negeri.
Beliau juga menafikan Mukhriz mendesak Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah supaya beliau dan dua lagi EXCO dikekalkan.
“Sudah tentu saya terima dan tidak ada masalah. Kita ini golongan jalankan tugas dan pekerja di dalam parti yang sama. Jika kami sah kerja di bawah Bashah, kita akan beri komitmen sepenuhnya dengan Menteri Besar. Tidak ada masalah dan saya tidak akan bandingkan Bashah dengan Mukhriz,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat, Datuk Suraya Yaacob ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak mahu ulas,” jawabnya ringkas.
Terdahulu, Ahmad Bashah dilaporkan berhasrat mengekalkan kesemua sembilan EXCO di bawah pentadbiran Mukhriz.
Beliau dikatakan menerima tekanan daripada penyokongnya supaya membuat perubahan barisan EXCO dengan melantik muka baharu.
Majlis Angkat Sumpah EXCO Kedah akan diadakan pada Isnin ini di Istana Anak Bukit, Alor Setar.