NOW lapor polis MARA terlebih bayar RM129 juta

NOW lapor polis MARA terlebih bayar RM129 juta

Laporan itu turut menamakan tiga individu dan mendesak MARA mendapatkan semula wang daripada individu yang terlibat.

NOW-empat-hartanah-di-Australia-oleh-Majlis-Amanah-Rakyat

KUALA LUMPUR:
Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) membuat laporan polis berhubung skandal pembelian empat hartanah di Australia oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang terlebih bayar RM129 juta.

Pengarahnya, Akmal Nasir berkata, laporan itu dibuat untuk mendesak MARA mendapatkan semula wang terlebih bayar termasuk daripada individu-individu yang terlibat.

“Kita telah membuat laporan polis mengenai skandal MARA yang melibatkan bagaimana MARA membeli hartanah-hartanah di Australia dengan ‘terlebih bayar’ sebanyak RM129 juta,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini.

Dalam laporan polis itu, Akmal menamakan tiga individu sebagai pihak yang didakwa terlibat dalam urusan pembelian hartanah itu di mana salah seorangnya EXCO Pemuda UMNO dan abang iparnya.

“Laporan ini dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat secara rasmi skandal ini terutamanya individu -individu yang telah dinamakan dalam mahkamah di Australia.

“Kita juga boleh mengetahui sama ada isu ini mempunyai unsur pecah amanah yang melibatkan pengurusan MARA atau ahli politik,” jelasnya.

Beberapa dokumen dan invois yang diperoleh daripada Mahkamah Australia turut diserahkan kepada polis sebagai bahan bukti dan untuk membantu siasatan.

NOW pada akhir Jun dan awal Julai tahun lalu telah mendedahkan perkara berkenaan. Namun, sehingga kini selepas hampir lapan bulan MARA masih belum mendapatkan semula wang itu walaupun sudah mempunyai bukti kukuh untuk mengambil tindakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.