Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, Mat Sabu sebagai ahli politik veteran sepatutnya mengelak terlalu mengikut emosi ketika bercakap.
Berbeza dengan Mat Sabu katanya, Najib dilihat pemimpin berkaliber kerana tahu mengawal emosi dan menjaga bahasa apabila berdepan dengan kritikan dan kecaman.
“Bagi saya sifat pemimpin macam ini (Mat Sabu) tak sesuai, dia kena ‘cool’. Kita tengok Datuk Najib orang kata dia apa pun dia biar sahaja, dia jawab bila perlu sahaja malah bahasa yang digunakan sopan, itu baru ada kaliber sebagai pemimpin.
“Saya rasa dia patut contohi (Najib) la, tapi mungkin saya kata macam ni dia (Mat Sabu) marah pulak, tetapi banyak-banyak pemimpin Najib sangat ‘cool’,” katanya kepada Free Malaysia Today.
Ramlah diminta mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang mendakwa Mat Sabu menyifatkan orang Melayu sebagai bodoh, bangang dan bahalol dalam ceramah di Majlis Rumah Terbuka Pakatan Pembangkang Sempena Tahun Baharu Cina, di Sungai Petani, malam tadi.
Mat Sabu dikatakan membuat kenyataan itu kerana mendakwa orang Melayu terutama kelas pertengahan menjadi penyebab kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ramlah berkata, sebagai pemimpin, Mat Sabu sepatutnya bertanggungjawab menjaga sensitiviti dan menghormati pendirian orang Melayu memilih BN pada PRU13 bukannya menghina secara terbuka.
“Tindakan Mat Sabu ini tidak patut, bila orang sokong BN bodoh, tetapi bila orang sokong dia (Mat Sabu) pandai la?
“Saya rasa ini satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab, tidak profesional. Sebagai orang yang berpengalaman dalam politik dia tidak sepatutnya emosi menuduh orang lain tak bagus, malah pemimpin macam (Mat Sabu) kita kena jauhkan, kalau diangkat sebagai pemimpin habislah,” katanya.